CONTACT US

CONTACT US

Thursday 21 August 2014

KERATAN AKHBAR - LEBIH BANYAK SYARIKAT DAFTAR GST

Sinar harian - 16/08/2014


SEMAKIN banyak syarikat tampil mendaftar untuk melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menandakan tahap kesedaran semakin meningkat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Beliau berkata, setakat semalam pihaknya menerima 12,500 permohonan pendaftaran, meningkat daripada 10,000 permohonan dua hari lepas.

"Ini menunjukkan semakin banyak syarikat menyedari manfaat GST dan mereka tidak mahu melepaskan peluang itu," katanya kepada pemberita pada pelancaran Buku Garis Panduan GST untuk Perniagaan dan Seminar Kesedaran GST, di Kuala Lumpur hari ini.

Dianjurkan oleh Sekretariat bagi Memperkasa Usahawan India (SEED) di bawah Jabatan Perdana Menteri, seminar disertai kira-kira 1,200 usahawan India dan segelintir usahawan Melayu serta Cina.

Seminar itu disusuli pendaftaran GST yang dibantu oleh sekretariat penganjur.

Tee Yong berkata, walaupun 95 peratus daripada 38,000 syarikat kaum India di Malaysia merupakan perniagaan mikro (dengan perolehan tahunan kurang daripada RM300,000), mereka tetap berminat untuk mendaftar dengan GST kerana menyedari kelebihan yang akan diperoleh.

"Apabila tiba 1 April 2015, iaitu tarikh pelaksanaan GST, syarikat besar tidak akan mahu berurus niaga dengan perniagaan kecil yang tidak mendaftar untuk GST kerana mereka tidak boleh membuat tuntutan semula cukai.

"Lama-kelamaan ini akan menyebabkan perniagaan kecil dan sederhana tidak dapat bersaing dari segi struktur harga," katanya.

Beliau turut menggesa Jabatan Kastam meneruskan penganjuran seminar bagi meningkatkan lagi kesedaran dalam kalangan syarikat mengenai GST.

Kerajaan menyasarkan semua perniagaan dengan perolehan RM500,000 akan mendaftar untuk GST menjelang hujung September ini. - Bernama

Sunday 17 August 2014

KERATAN AKHBAR - LHDN BERJAYA KESAN 1,748 SYARIKAT LARI CUKAI

Sinar Harian (8 Julai 2014) 


KUALA LUMPUR - Kerajaan hampir-hampir kerugian sekitar RM2.02 bilion akibat perbuatan 1,748 syarikat pelbagai sektor yang dikesan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cuba lari cukai dalam tempoh tiga tahun sejak 2011. 

 Pengarah Jabatan Siasatan LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi berkata, bagaimanapun hasil audit pematuhan cukai yang dijalankan oleh LHDN, kerajaan bukan sahaja memperoleh semula hasil itu tetapi juga bayaran penalti berjumlah RM1.3 bilion daripada syarikat terbabit. 

Semua syarikat berkenaan melakukan pelarian cukai tidak nyata dan tindakan yang dikenakan terhadap mereka ialah secara sivil di luar mahkamah iaitu perlu membayar cukai taksiran tambahan serta penalti, katanya kepada Bernama di sini. 

Menurut Mohd Nizom, LHDN juga mengambil tindakan jenayah jika terdapat bukti kukuh sesebuah syarikat melakukan pelarian cukai yang menuntut pembayaran cukai taksiran tambahan dan penalti, selain pemilik berdepan hukuman penjara. Mohd Nizom berkata, antara modus operandi syarikat yang cuba lari daripada membayar cukai ialah membuat tuntutan pembelian dan perbelanjaan palsu, tidak melaporkan jualan atau mengurangkan jualan yang dilapor, selain tuntutan elaun berlebihan atau tuntutan elaun tidak layak.