CONTACT US

CONTACT US

Wednesday 17 September 2014

KERATAN AKHBAR - 3,326 SYARIKAT DIPERIKSA



Harian Metro
(10 Julai 2014)

Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memandang serius ketepatan penyata kewangan yang diserah simpan bagi memastikan setiap syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 wajib menyediakan akaun syarikat yang diaudit.

Dalam kenyataan dikeluarkan, SSM berkata, pihaknya menjalankan semakan ke atas 3,326 syarikat persendirian dan awam pada suku pertama 2014 dengan memfokus pematuhan piawaian perakaunan.

Katanya, pengarah syarikat perlu memastikan pemakaian piawaian perakaunan yang diluluskan dalam penyediaan akaun syarikat supaya dapat menggambarkan kedudukan kewangan yang benar dan adil di samping menyediakan sistem kawalan dalaman syarikat yang efektif.

“Antara fokus semakan yang utama adalah pematuhan terhadap piawaian perakaunan berhubung pendedahan pengiktirafan hasil syarikat dan pemakaian piawaian perakaunan yang diluluskan bagi Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ).

“Penyediaan akaun syarikat yang memberikan gambaran benar dan adil serta laporan oleh juru audit syarikat ke atas kesalahan serius yang membabitkan penipuan berlaku dalam syarikat semasa kerja pengauditan dijalankan,” katanya.

Sebanyak 1,613 syarikat diambil tindakan dengan mengeluarkan notis makluman kepada semua SBMJ untuk memastikan pemakaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) dipatuhi dalam penyediaan penyata kewangan bermula dari tahun kewangan berakhir 2013.

Manakala, sebanyak 1,008 syarikat dijalankan pemantauan berhubung pendedahan ke atas pengiktirafan hasil yang dilaporkan oleh syarikat awam dan syarikat persendirian.

Kegagalan juru audit melaporkan sebarang ketidakpatuhan boleh dikenakan penjara dua tahun atau penalti sebanyak RM30,000 atau kedua-duanya sebagaimana peruntukkan seksyen 174(8) dan seksyen 174(9) AS’ 65.

“Sebagai badan pengawal selia dan penyimpan maklumat korporat, SSM amat memandang serius berhubung ketepatan penyata kewangan yang diserah simpan. “Syarikat juga digalakkan supaya mempunyai sistem kawalan dalaman yang bersistematik dan selamat supaya sumber organisasi berada dalam tahap optimum, mengawal ketidakcekapan kerja, mengalakkan pematuhan mengikut dasar serta peraturan syarikat dan seterusnya memastikan kelangsungan organisasi,” katanya.