BERITA HARIAN
20 Jun 2013
CYBERJAYA: Daripada kira-kira empat juta rakyat yang mempunyai fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), hanya sejuta diklasifikasikan sebagai pembayar cukai, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Katanya, dari segi syarikat pula, hanya 75,000 daripada 450,000 yang ada fail di LHDN diklasifikasi pembayar cukai.
"Jumlah itu jika dibandingkan dengan penduduk dan syarikat adalah kecil sebenarnya. Jadi ada banyak lagi runag yang boleh kita cari untuk meningkatkan hasil negara," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Menara Hasil di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau yakin LHDN mampu mencapai sasaran kutipan hasil RM130 bilion tahun ini berdasarkan kedudukan ekonomi semasa.
Jumlah itu adalah 61 peratus daripada hasil negara, berbanding kutipan tahun
lalu pada 51 peratus dengan sumbangan RM124.99 bilion, katanya.
"Sehingga 31 Mei tahun ini, sebanyak 2,376,720 Borang Nyata telah diterima oleh LHDN melalui aplikasi e-filing. Melalui angka ini saya sangat yakin sasaran penerimaan e-filing yang ditetapkan LHDN pada tahun ini sebanyak 2.7 juta BNCP (Borang Nyata Cukai Pendapatan) akan dapat dicapai," katanya.
Ahmad juga menasihatkan pembayar cukai individu yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan agar menghantar BNCP 2012 (Borang B) selewat-lewatnya 30 Jun ini.
Namun, katanya mereka yang memilih untuk mengggunakan e-filing, diberikan kelonggaran untuk menghantar Borang B itu selewat-lewatnya 15 Julai ini.
"Nasihat saya, gunakan e-filing kerana ia mudah, kiraan cukainya juga lebih tepat, menjimatkan kos dan penghantaran maklumat cukai juga lebih selamat," katanya. - BERNAMA