CONTACT US

CONTACT US

Tuesday, 25 June 2013

KERATAN AKHBAR - HUKUMAN AKTA CUKAI KEKAL

HMETRO
09 November 2012

KERAJAAN tidak mempunyai sebarang cadangan meminda atau memansuhkan Bahagian 8, Akta Cukai Pendapatan 1967 ketika ini untuk mengenakan hukuman munasabah terhadap individu yang gagal menjelaskan cukai pendapatan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Donald Lim Siang Chai berkata, terpulang kepada mahkamah untuk mengambil tindakan yang adil dan saksama berhubung isu kegagalan individu membayar cukai pendapatan.

“Tindakan yang dilakukan LHDN ketika ini kepada individu yang enggan membayar cukai adalah mengenakan penalti lewat bayar cukai, arahan sekatan perjalanan ke luar negara, tindakan saman ke atas pembayar cukai di mahkamah bagi tuntutan amaun tertunggak, penyitaan aset dan prosiding penangkapan.

“Berhubung soalan untuk meminda akta berkenaan, memang pada masa ini kami tidak ada cadangan mengenainya. Jumlah kutipan juga meningkat setiap tahun. Sebagai contoh dari 2010 dan 2011 ada peningkatan sebanyak 10 peratus setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan sedia menimbang menyemak akta berkenaan atau memansuhkan pindaan supaya hukuman menjadi munasabah.

Malah, katanya, menerusi laporan akhbar menyatakan bahawa sesiapa yang tidak bayar cukai pendapatan boleh didakwa dan dipenjarakan.

Donald Lim berkata, kesedaran di kalangan masyarakat di negara ini amat penting dalam menunaikan tanggungjawab membayar cukai pendapatan kepada LHDN.

“Daripada segi kutipan individu pula, daripada 12.8 juta pekerja di Malaysia, hanya 1.78 juta membayar cukai dengan jumlah RM20 bilion,” katanya.