CONTACT US

CONTACT US

Sunday, 1 February 2015

KERATAN AKHBAR - LABEL PRODUK KENA GST

SINAR HARIAN
(17 JANUARI 2015)

TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia), menggunakan beberapa mekanisme bagi memudahkan pelanggannya mengetahui produk dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau tidak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Georg Fischer berkata ia bertujuan memastikan pelanggan Tesco mengetahui barangan dikenakan GST tanpa berlaku kekeliruan mengikut kategori produk.

“Kami akan mempamerkan maklumat mengenai GST pada label produk di dalam pasar raya kami supaya pengguna dapat membuat keputusan sebelum membeli.


“Tesco juga akan menandakan barangan dikenakan GST pada resit pembelian supaya pelanggan boleh menyemaknya,” katanya selepas merasmikan Kempen Jualan Tahun Baru China ‘Ong Mali’ di Kepong baru-baru ini.

Fischer berkata Tesco Malaysia melabur RM3 juta dalam persediaan menghadapi GST bermula 1 April ini.

“Kami juga akan menyediakan perkhidmatan yang optimum dari segi kualiti produk, kepelbagaian, ketersediaan, dan harga serta pengalaman membeli-belah dalam mengatasi kerisauan pengguna mengenai kenaikan harga barang selepas pelaksanaan GST.

“Tesco turut menyediakan pusat panggilan khidmat pelanggan serta laman sesawang dalam membantu pelanggan memahami GST berdasarkan pengalaman kami di negara-negara lain yang telah menerima pakai sistem cukai tersebut,” katanya.

Sementara itu, Kempen Jualan Tahun Baru China ‘Ong Mali’ akan dijalankan selama lima minggu bermula 14 Januari sehingga 19 Februari depan.