CONTACT US

CONTACT US

Friday 13 February 2015

KERATAN AKHBAR - SYARIKAT PERUNCITAN TIDAK DAFTAR GST

UTUSAN 

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Sektor peruncitan antara dikenal pasti sebagai paling banyak tidak berdaftar di bawah sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan bermula 1 April ini.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T. Subromaniam berkata, semua syarikat yang masih tidak berdaftar perlu menggunakan tempoh diberikan sebaik mungkin sebelum tindakan tegas diambil terhadap syarikat berke­naan.


Menurut beliau, selain daripada bidang peruncitan, sektor yang turut dikenal pasti mempunyai syarikat paling banyak tidak berdaftar adalah sektor perkhidmatan yang menyediakan kepakaran, kemahiran, tenaga dan juga pengalaman kepada individu atau masyarakat.


“Kita akan gunakan kuasa yang telah diperuntukkan untuk memastikan syarikat terbabit mendaftar untuk GST.

“Jika syarikat berkenaan masih berdegil, kita akan mengheret pe­salah ke mahkamah untuk dikenakan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Jaba­tan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, tindakan memburu kira-kira 50,000 syarikat yang terbabit akan dilaksanakan oleh jabatan itu sepanjang Mac ini termasuk mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM15,000.

Sementara itu, Subromaniam berkata, pihaknya turut mengesan beberapa syarikat menjalankan perniagaan melalui Internet atau lebih dikenali sebagai E-commerce yang masih tidak berdaftar di bawah sistem GST.

“Mereka masih mempunyai tem­poh untuk berdaftar selewat-lewatnya sebelum atau pada 28 Februari ini bagi mengelak daripada dikompaun sebanyak RM15,000,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/syarikat-peruncitan-tidak-daftar-gst-1.59337#sthash.Y8iy3zih.dpuf