CONTACT US

CONTACT US

Thursday 23 May 2013

KERATAN AKHBAR - 2.25j HANTAR BORANG CUKAI PENDAPATAN

UTUSAN 
15 Mei 2013

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) telah menerima 1.94 juta borang penyata cukai pendapatan bagi punca pendapatan bukan perniagaan (Borang BE) sehingga 2 petang ini iaitu hari terakhir penghantaran borang melalui kaedah e-Filing.

Pegawai Perhubungan Awam LHDNM, Masrun Maslim berkata, jumlah itu dijangka meningkat kepada kira-kira 2.25 juta borang menjelang 11.59 malam ini iaitu tempoh masa terakhir untuk orang ramai menghantar borang tersebut secara dalam talian.

Katanya, peningkatan 10 peratus daripada sejumlah 1.76 juta borang BE yang diterima bagi tempoh yang sama tahun lepas menunjukkan orang ramai kini memilih menghantar borang secara dalam talian kerana tidak perlu membuang masa pergi pejabat LHDNM.

Sambutan terhadap e-Filing amat menggalakkan kerana proses bagi pembayaran balik cukai terlebih bayar dapat dilakukan dengan cepat, katanya.

"Orang ramai kini mula sedar akan kepentingan menghantar borang tersebut lebih awal kerana tidak perlu mengejar masa selain individu yang terlebih bayar cukai pula boleh menuntut semula pembayaran tersebut daripada kami dengan cepat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketika ditanya mengenai jangkaan berlaku sebarang kesesakan talian sepanjang malam nanti, Masrun berkata, kapasiti talian LHDN untuk sistem e-Filing telah dipertingkat bagi mengelakkan berlaku sebarang masalah teknikal dan memberi jaminan borang tersebut dapat diterima mengikut waktu yang sepatutnya.

"Kami ada menerima aduan orang ramai yang mengatakan talian untuk menghantar e-Filing agar perlahan namun mungkin ia berikutan talian internet mereka yang mempunyai masalah kerana kesediaan talian LHDNM telah ditambah baik untuk menerima penghantaran e-Filing yang banyak dalam satu-satu masa," katanya.

Masrun berkata, LHDNM mensasarkan sebanyak 2.8 juta orang akan menggunakan kemudahan sistem e-Filing bagi menghantar pelbagai borang cukai taksiran tahun ini kerana sebanyak 2.7 juta pengguna menggunakan sistem itu tahun lepas. - BERNAMA

© Utusan Melayu (M) Bhd