CONTACT US

CONTACT US

Tuesday 10 September 2013

KERATAN AKHBAR - SSM GESA SYARIKAT SERAH PENYATA TAHUNAN

HMetro
09 September 2013


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyarankan supaya syarikat menunaikan tanggungjawab dalam menyerah simpan penyata tahunan dan kewangan masing-masing mengikut tempoh waktu ditetapkan demi memastikan pihak awam mendapat maklumat tepat dan terkini mengenai syarikat yang didaftarkan di negara ini.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Naim Daruwish berkata, statistik SSM 2012 menunjukkan hanya 90 peratus iaitu 323,024 syarikat menyerah simpan penyata tahunan dan kewangan masing-masing daripada 360,783 yang didaftarkan manakala 10 peratus lagi mewakili 37,759 syarikat masih gagal menjalankan tanggungjawab yang ditetapkan. “Situasi ini boleh dianggap mengecewakan kerana syarikat perlu melaksanakan tadbir urus korporat yang baik dan ini adalah satu asas kepada perkara terbabit,” katanya pada Bisnes Metro, di sini, baru-baru ini.


Sehingga 31 Ogos 2013, terdapat 1,049,583 syarikat yang berdaftar dengan SSM dengan 1,0452 terdiri daripada syarikat tempatan manakala 4,541 (syarikat asing). Naim berkata, SSM amat mengambil serius perkara ini di mana tindakan undang-undang akan diambil kepada syarikat yang gagal melaksanakannya bagi memastikan kewajipan itu dapat dipenuhi. Menurutnya, penyata tahunan dan kewangan hendaklah diserah simpan di SSM dalam tempoh satu bulan selepas mesyuarat agung tahunan syarikat dilakukan di mana kegagalan berbuat demikian adalah suatu kesalahan di mana mereka boleh didenda sehingga RM2,000 berserta penalti ingkar. “Antara faktor yang dikenal pasti membuatkan syarikat gagal menyerah simpan penyata kepada SSM adalah tanggapan mereka tidak perlu melakukan tanggungjawab itu sekiranya tidak beroperasi atau tiada transaksi dilakukan.


“Sikap sambil lewa terhadap kewajipan itu, keengganan syarikat untuk memperuntukkan kos penyediaan penyata kewangan dan kelekaan setiausaha syarikat untuk memberi peringatan turut menyumbang kepada kegagalan menyerah simpan penyata kewangan kepada SSM,” katanya.


Bagaimanapun, statistik SSM menunjukkan terdapat peningkatan jumlah syarikat yang menyerah simpan penyata kewangan sejak tiga tahun lalu bermula pada tahap 87 peratus syarikat pada 2010, 90 peratus (2011) dan 95 peratus (2012).